Kekurangan peruntukan Pulau_Jemor

Disebabkan masalah pembiayaan, ia tidak lagi digunakan sebagai pusat penyelidikan dan pulau itu diserahkan kepada swasta menjaganya, pihak swasta telah menyediakan kemudahan kepada kaki pancing dengan kadar bayaran RM5 setiap kali memancing di pulau itu dan terdapat juga perkhidmatan bot dari Jeram ke pulau tersebut pada kadar RM25 seorang. Namun begitu, pulau tersebut tetap tidak diurus dengan baik.

Bekas dekan dan professor Fakulti Sains dan Bioteknologi UNISEL, Bestari Jaya, Profesor Dr Mohd Nasir Saadon berkata, pihaknya sudah lama tidak membuat penyelidikan dan kajian di pulau itu kerana tiada peruntukan.

Malah, sejak setahun lalu, pulau itu terbiar dan tiada pengawal keselamatan ditempatkan bagi menjaga aset. Beliau berkata, penyelidikan hanya dilaksanakan di pulau itu pada peringkat awal selepas tempat itu disiapkan. Bagaimanapun, beliau perlu membuka kertas kerja awal berkenaan penyelidikan itu bagi mendapatkan maklumat lengkap.

Beliau berkata “Memang dah berhenti lama (penyelidikan dan kajian di Pulau Jemor). Kami hanya menjalankan penyelidikan ketika peringkat awal ia disiapkan pada Januari 2004 sebelum dihentikan setahun kemudian akibat kekurangan dana. Saya belum pasti status Pulau Jemor di bawah jagaan Unisel atau sebaliknya. Tetapi saya rasa tanah memang bukan milik Unisel,”

Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, Pulau Jemor hanya dijadikan tempat penyelidikan saja dan tiada orang tinggal di situ. Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Unisel berkata, pihak universiti berkenaan memang tidak mempunyai dana menjaga pulau terbabit.

“Mengenai laporan terdapat kegiatan tidak bermoral di bangunan terbiar yang ditinggalkan di Pulau Jemor, saya rasa penduduk setempat terutama di jeti bahagian tanah besar mempunyai peranan. Penduduk boleh memantau pergerakan kumpulan mencurigakan dan laporkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan. Apapun, katanya, adalah sesuatu yang merugikan apabila binaan dan kemudahan yag dibina mahal di pulau itu tidak dimanfaatkan. Siasatan dan pemeriksaan status penjagaan Pulau Jemor sekarang sama ada bawah pihak berkuasa tempatan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) atau pejabat daerah setempat perlu di periksa," menurutnya.